icon-search
icon-search

Cara-cara Memakai Kain Ihram untuk Lelaki

Cara-cara Memakai Kain Ihram untuk Lelaki

Sering kali kami diajukan soalan-soalan daripada bakal jemaah lelaki berkaitan dengan pemakaian ihram. Ya, pemakaian ihram adalah suatu perkara yang kritikal dan sekiranya tersilap pemakaian mungkin akan menjejaskan ibadah umrah dan haji anda.

Persoalan dan permasalahan yang sering kami terima ialah:

  1. Tidak tahu cara yang betul untuk memakai ihram.
  2. Risau ihram yang dipakai tidak cukup kukuh dan risau terlucut
  3. Tidak tahu jenis ihram yang bagaimana harus dipakai.
  4. Tidak tahu syarat-syarat berihram atau larangan semasa ihram.

Selalunya permasalahan ini berlaku kepada bakal jemaah yang baru pertama kali hendak pergi menunaikan umrah atau haji.

Jangan risau, Insya Allah kami akan kongsikan kali ini kepada anda bagaimana untuk memakai ihram dengan betul.

Jenis-jenis Kain Ihram

Sebelum itu, kita bincangkan dahulu apakah kain ihram untuk lelaki.

Kain ihram yang berada di pasaran sekarang adalah sepasang kain yang diperbuat daripada material jenis dobby. Kalau kita lihat kain ihram ini, ia seperti dua helai tuala berwarna putih. Ianya amat selesa dipakai kerana mudah menyerap peluh dan lembut pada kulit. Kain ihram ini tidak dijahit pada kemasan tepinya. Ini adalah kerana antara syarat berihram bagi lelaki ialah tidak boleh memakai pakaian yang berjahit.

Juga terdapat beberapa jenis kain ihram dobby. Kain ihram ini ada dibezakan mengikut saiz dan beratnya. Contoh berat yang biasa kita jumpa di pasaran adalah 1200gm, 1400gm dan 1600gm. Berat kain ihram ini, menunjukkan ketebalan kain tersebut. Bermakna makin berat kain itu, makin tebal lah kainnya. Kain ihram yang paling ringan adalah 700gm dan kain ini sangat nipis. Dan yang paling tebal pula ialah 2000gm. 

Tebal yang macam mana perlu dipilih? Untuk memilih ketebalan kain ihram, anda perlu mengambil kira cuaca di Tanah Haram ketika umrah atau haji yang anda ingin laksanakan. Jika anda pergi pada musim sejuk, kami sarankan anda memilih kain ihram yang tebal manakala jika anda pergi pada musim panas, pilihlah kain ihram yang lebih nipis. Namun hati-hati jangan sampai terbeli yang nipis dan jarang pula.

Berikut ialah suhu purata bagi Mekah untuk tempoh setahun:

  • Januari sehingga Mei : 24°C sehingga 35°C 
  • Jun sehingga Ogos : 36°C  sehingga 37°C 
  • September sehingga Disember : 36°C  sehingga 25°C 

Itu adalah suhu purata, namun begitu ada juga ketikanya Mekah dilanda suhu yang sangat tinggi atau suhu yang rendah. Suhu pada musim panas yang pernah direkodkan paling tertinggi ialah sekitar 45°C  manakala suhu pada musim sejuk yang paling rendah ialah sekitar 19°C. 

Sudah tahu hendak pilih kain ihram yang mana? Jom kita bincangkan pula langkah-langkah memakai kain ihram yang betul. 

Sebelum memakai ihram, anda disarankan untuk membersihkan serta menyucikan diri. Anda juga disunatkan mandi sunat ihram, memakai wangi-wangian, merapikan rambut dan janggut. Setelah itu, bersiaplah dengan pakaian ihram anda.

Cara-cara memakai Kain Ihram

Ok. Mari kita teliti gambar di bawah:

cara2W.jpgLangkah-langkah pemakaian ihram:

  1. Lilitkan kain pertama, rapatkan kedua-dua hujung dan tarik ke sebelah kiri anda. Lipatkan pula ke hujungnya sehingga ke pinggang seperti dalam gambar.
  2. Lipatkan lagi dengan kemas ke perut anda dan pasangkan tali pinggang ihram.
  3. Kemaskan dengan melipat kain ke arah bawah.
  4. Ambil kain kedua, dan bentangkan seperti dalam gambar.
  5. Hujung bucu kain di sebelah kiri atas, diselitkan ke belakang pinggang.
  6. Hujung kain di sebelah kanan dililitkan ke bahu kiri.
  7. Selit bucu kain tadi seperti dalam gambar.
  8. Ihram yang telah siap dipakai.

Siap memakai ihram, anda sudah bolehlah melakukan persediaan untuk solat sunat ihram dan berniat ihram. Apabila anda sudah berniat ihram maka anda telah tertakluk di bawah 13 larangan semasa berihram.

Apa pula 13 larangan semasa berihram itu? Kalau hendak tahu lebih lanjut, ikuti posting kami berkenaan Larangan Semasa dalam Ihram.

Sekian dari kami untuk kali ini. Jangan lupa share artikel ini kepada rakan-rakan anda. Semoga ilmu ini dapat dimanafaatkan bersama.   



Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping